Iklan

Tuesday 24 September 2013

2nd STEPS - KIRIM DOA PADA KAWAN YG BUAT HAJI

Alhamdulillah..................

Tak semena-mena aku dapat tahu kawan baik aku masa kat 'U' dulu nak pergi buat haji hujung bulan 9 ni. Alhamdulillah!! So, aku terus mesej kat FB dia minta dia kirim salam pada Rasulullah dan doakan aku pregnant lagi. Sebenarnya kawan aku ni pun tengah TTC tapi aku tak pernah tanya dia apa usaha yang dia dah buat sepanjang TTC sebab dia laki bini nampak cool tak kisah je :D 

Dia kahwin sama tarikh dengan aku...8 tahun lepas dan sampai sekarang masih belum ada rezeki. Masa aku TTC anak 1st, aku pernah tanya dia, dia tak risau ke tak ada anak? Katanya dia tak kisah sangat...bagusnya ada orang yang macam ni. Tak sakit2 kepala nak pikir.

Aku harap dia tak lupalah nak doakan aku sebab memandangkan dia pun tengah TTC, moga2 dia teringat juga pada aku :)


* Sebenarnya ada je sorang mak cik aku nak buat haji juga tapi aku macam malas nak kirim doa kat dia sebab dia ni dari dulu tak sebulu dengan aku. Entah apa yang dia anti sangat dengan aku pun tak tahulah...tak apalah, harap2 dia selamat semuanya dan balik nanti berubahlah perangai tu.

Monday 23 September 2013

1st STEP INTO TREATMENT - CALL HKL

1st step yang aku dah buat hari ni...

Telefon Hospital Kuala Lumpur (HKL). Walaupun aku beria2 tanya tentang Hospital Putrajaya & HUKM tapi aku tak dapat feed back yang aku inginkan so bila tak ada info dan memikirkan pula jarak yang agak jauh, so aku mula berkira2 tentang rawatan di HKL @ PPUM @ Hospital Selayang saja. Setakat hari ni, aku baru call HKL je...

Ni nombor telefon HKL bagi sesiapa yang nak cuba buat fertility treatment kat sana --->
03-2615 5555 ext. 6797 (Infertility Dept.).

Bila call, aku saja2 tanya nak kena bawa apa masa pergi sana walhal dah tahu, kena bawa surat rujukan tu aje. Memang sengallah aku ni! Dah tu tak pasal2 yang angkat call tu nak marah. Dia tanya aku dah period ke? Aku kata dah nak habis period. Pastu dia macam marahlah kenapa baru nak call? Aku pun macam bengong2 cakaplah, aku baru dapat surat rujukan. Pastu dia kata dia tak faham aku cakap apa...muahahaha. Rupanya dia dah salah faham. Aku ni baru nak buat 1st appointment, mungkin dia ingat aku call utk buat appointment check darahlah tu :p

So, bila dia dah clear, dia pun minta aku ke sana bawa surat rujukan je. Dia suruh ke Hospital Bersalin dan department diaorang kat bahagian belakang. Belakang macamana tu wallahualam sebab aku tak pernah lagi ke situ.

Okey, so settle dengan HKL...katanya kalau aku ada surat rujukan dari klinik kerajaan free je. Tak pasti pula bila dah start treatment nanti kosnya macamana. IUI, check darah, HSG kena bayar ke macamana. Nak tanya banyak2, biasalah bukan diaorang nak layan sangat...


Saturday 21 September 2013

5 Pusat IVF dan 5 Doktor Popular di Malaysia

Senarai 5 Pusat IVF dan 5 Doktor Popular di Malaysia

Dato’ Dr. Prashant Nadkarni (KL Fertility)
Dr Prashant mempunyai pengalaman selama lebih 24 tahun dalam bidang IVF. Atas pencapaian serta jasa beliau dalam penglibatan sebagai sukarelawan, beliau telah dikurniakan gelaran Dato’ oleh Sultan Pahang. Dr Prashant menerajui KL Fertility yang sudah dua dekad menawarkan khidmat dalam mengatasi masalah ketidaksuburan. KL Fertility kini bekerjasama dengan Monash IVF Australia yang mempunyai reputasi yang amat mengkagumkan dalam kejayaan IVF.
Dr Tee Swi Peng (Metro IVF)
Metro IVF ditubuhkan pada tahun 1998 dan pada merupakan sebahagian daripada Metro Maternity Klang. Ia menyediakan rawatan dan kajian kepada pasangan yang mengalami masalah ketidaksuburan dan mencatatkan sejarah antara hospital yang terawal berjaya dalam bidang IVF di Malaysia dengan kelahiran bayi tabung uji pada tahun 2000.  
Dr Surinder Singh (Tropicana Medical Centre)
Dikenali dengan nama Damansara Fertility Centre pada awalnya, pusat rawatan ini antara yang terawal memperkenalkan teknologi IVF di Malaysia sejak 2003. Dr Surinder Singh mempunyai pengalaman selama 18 tahun dan bergiat aktif dalam memperkembangkan teknologi dalam bidang ini. Buat masa ini, beliau juga merupakan Presiden tidak rasmi  bagi Malaysian Society of Assisted Reproductive Technology (MSART). Menurut beliau, peratus kejayaan IVF di TMC ialah 59.2 peratus.
Dr Wong Pak Seng (SunFert)
Sungguhpun baru ditubuhkan pada akhir tahun 2009, SunFert semakin gah menempa nama dalam bidang IVF di Malaysia apabila mula mencatatkan kelahiran IVF yang pertama pada tahun 2010. Pusat kesuburan ini merupakan pusat perubatan sehenti yang menawarkan rangkaian komprehensif untuk rawatan kesuburan. Sunfert juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana turut menawarkan khidmat rundingan MindBody Fertility yang menggunakan teknik kuasa minda untuk mempertingkatkan peluang mengandung. Dr Wong yang merupakan Pakar Kesuburan di sini mempunyai pengalaman selama sepuluh tahun dan menemui beberapa kejayaan cemerlang dengan IVF.
Dr Suhaimi Hassan (Columbia Asia Setapak)
Dr Suhaimi bergiat aktif dalam bidang penulisan blog serta pendidikan. Hospital Columbia Asia Setapak adalah cawangan Columbia Asia yang kesepuluh dan mula beroperasi sejak 2012. Sungguhpun baru beroperasi, ramai yang tidak was-was untuk menjalani rawatan di sini kerana nama Hospital Columbia Asia sememangnya terkenal sebagai sebuah hospital yang mementingkan kualiti dan sentiasa mempertingkatkan kemudahan serta perkhidmatan perubatan. 


Rawatan IVF di hospital kerajaan

 Di hospital kerajaan, Assisted Reproductive Technology (ART) semakin pesat membangun dan pusat ART pertama di negara ini terletak di Hospital Kuala Lumpur sejak tahun 2006.
Kini, negara kita memiliki tiga pusat ART lagi yang terletak di Terengganu, Alor Setar dan Likas, Sabah. Tiga pusat ini disokong oleh tiga hospital satelit iaitu Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Bayi tabung uji pernah dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Alor Star, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu dan beberapa lagi hospital kerajaan yang lain. 
Kebanyakan pusat IVF kerajaan terpaksa mengehadkan keperluan IVF kepada kuota tertentu memandangkan sebahagian kos rawatan ditanggung oleh kerajaan. Ini menyebabkan bilangan pesakit yang berjaya melalui IVF menjadi rendah kerana mereka tidak dapat mengendalikan banyak kes IVF. Namun, ini tidak bermakna mereka kurang bagus. Sungguhpun pelaksanaan rawatan IVF di hospital kerajaan adalah terhad, pemeriksaan kesuburan dan rawatan permanian beradas atau intrauterine insemination (IUI) disediakan hampir di setiap hospital besar negeri.

Apakah kos rawatan IVF di Malaysia?

Kos IVF adalah mahal dan kebanyakannya dikendalikan di klinik swasta dengan anggaran sekitar RM12,000 hingga RM18,000 mengikut usia anda (keperluan dos ubat sederhana sahaja). Di klinik kerajaan pula, kosnya sekitar RM 5,000 hingga RM10,000. 
Perlu diingat bahawa IVF mungkin perlu dilakukan beberapa kali sebelum wanita berjaya hamil tanpa sebarang komplikasi. Terdapat juga wanita yang hamil melalui kaedah ini, tetapi kandungannya hanya kekal selama beberapa bulan.
Kebanyakan pasangan berasa tertekan apabila IVF pertama tidak berhasil dan ingin melakukan IVF buat kali kedua dan seterusnya. Oleh itu, buatlah sedikit pemantauan dan kajian tentang doktor atau hospital yang bagus dan sesuai dengan kemampuan anda. 

Friday 20 September 2013

HOSPITAL PUTRAJAYA @ HUKM?

Kawan-kawan TTC sekalian, nak minta tolong sikit boleh tak? 

Sesiapa yang dah pernah buat rawatan kat Hosp. Putrajaya atau HUKM? Rawatan IUI kat sana kena bayar ke macamana? Maksud saya untuk check darah, consultation, ubat2 dan IUI tu sendiri. 

Saya ni bukan gov. staff. Saya dah ada surat refer dari Klinik Kesihatan tapi masih dalam dilema lagi nak pilih nak buat rawatan kat mana. Kalau boleh nak yang menjimatkan kos. 

Terima kasih kawan-kawan...:)

PERNAH TAK?

Teman-teman TTC ku sekelian...

Pernah tak anda terfikir kenapalah aku yang dipilih oleh Allah untuk menerima ujian ni?
Pernah tak anda tertanya-tanya kenapa orang lain senang hamil sedangkan anda tidak?
Pernah tak anda terfikir kenapa bukan orang itu atau itu yang mengalami masalah ni dan bukannya aku?
Pernah tak anda terasa cemburu melihat orang lain disahkan hamil sedangkan anda tidak sepatutnya berperasaan begitu?
Pernah tak anda terasa ingin duduk di dalam rumah sahaja daripada keluar melihat kebahagiaan orang lain atau menadah telinga dengan soalan2 yang sama?

Pernah tak anda cuba membayangkan perasaan anda kalau test UPT yang anda buat tiba2 keluar 2 lines?
Pernah tak anda terfikir apa pula perasaan suami bila anda disahkan mengandung?
Pernah tak anda terfikir untuk melalui pengalaman mengandung?
Pernah tak anda terbayang bagaimana rasa sakit saat melahirkan?
Pernah tak anda berangan untuk mengandung dan terus mengandung sekiranya boleh?

Pernah tak anda terfikir apalah jantina anak anda sekiranya anda mengandung?
Pernah tak anda cuba membayangkan iras wajah siapakah anak anda nanti?
Pernah tak anda berangan-angan untuk meletakkan nama apa untuk anak anda?

Pernah tak anda terasa untuk mempunyai anak sendiri dan melalui saat2 melihat anak membesar di depan mata?
Pernah tak anda terasa teruja untuk membeli pakaian untuk anak apabila berjalan di shopping2 complex?
Pernah tak anda terfikir bagaimana hidup anda di hari tua tanpa anak?
Pernah tak anda cuba mencari jawapan kepada semua masalah anda?

Pernah tak? Pernah tak?  
Mustahil anda tak pernah..... 

Thursday 19 September 2013

GIANT KIDS RUN 2013

16/9/2013 (Hari Malaysia) hari tu bawa Afif masuk Giant Kids Run 2013 kat Taman Metropolitan Kepong. Sebenarnya dari tahun lepas nak daftarkan dia tapi terlepas, so tahun ni bila tahu je cepat2 la daftarkan dia. Bukan nak menang sangat pun cuma nak bagi dia fun dan ambil pengalaman je. Dia pun bila tahu nak masuk acara lari2, siap ajak aku praktislah bagai. Afif ni pun memang suka berlari. Kalau bawa dia ke mana2 memang dia tak boleh berjalan elok2 macam budak2 lain, berlari aje sampai aku risaulah anak aku ni ada masalah hyperactive ke apa?

Sebenarnya ada banyak kategori dan setiap kategori, lelaki dan perempuan diasingkan. Afif masuk dalam kategori 4-6 tahun (Lelaki). Untuk kategori 4-6 tahun ni budak2 tak boleh berlari sendiri, mesti ditemani oleh either ayah atau emak. Disebabkan suami aku tak berapa nak sihat, maka akulah yang kena berlari dengan Afif nanti...entah macamanalah keadaannya mama mu yang dah tua ni nak berlari Afif oiii? Dah berpuluh tahun mama meninggalkan acara balapan ni tahu tak? Confirm semputlah! 750 meter tu!

Organizer minta kami sampai ke sana sebelum pukul 6 pagi tapi apa kejadahnya aku nak tertonggok kat situ pukul 6 pagi sebab Subuh pun baru je nak masuk waktu. So, lepas solat Subuhlah baru kami gerak ke sana. Malam tu tidur rumah mak aku kat Kepong, so dekat ajelah nak ke situ. Pukul 6.30 pagi kami sampai. Manusia dan berkerumun dan kereta pun dah kena parking kat tepi2 jalan. Mujur kami masih jumpa parking yang dekat, kalau yang datang lambat tu mahu 1km kena berjalan dari parking nanti.

Bila dah berkumpul kat depan garisan mula tu, jantung aku dap dip dup gak...hahaha. Konon2 macam nak cuba menang juga tapi melihatkan jumlah participants yang beratus2 ni, simpan ajelah harapan tu. Aku pula bukan duduk betul2 kat barisan depan, kira2 barisan ke-3 atau ke-4 jugalah so, harapan nak pintas orang depan tu susahlah sikit.

Bila start je, teruslah semua pakat serbu sampai ada yang nak tersembam. Mujur aku pegang Afif kuat2, kalau tak dia pun nak terjatuh juga. Puaslah kami selit ke kanan ke kiri tapi manusia kat depan kami tetap juga ramai :D Bila dah masuk 400 meter kot, aku dah start mengah...Afif maintain lak tu. Last2 aku lepaskan tangan dia sebab aku nak berjalanlah sekejap, kalau aku lari juga, rasanya aku boleh pengsan kot. Tapi Afif nampak masih bertahan so aku suruh dia lari dulu. Risau juga aku kalau dia lari nanti hilang pula anak aku tapi aku lepaskan jugalah tangan dia sambil mata aku perhatikan dia. Makin lama makin jauh pula budak ni, last2 memang hilang dari pandangan aku pun. Dasyatnya budak2 ni berlari, tak penat ke? Aku ni punyalah dok pandang depan, bila nak sampai ni? Bila nak habis? Dah sampai garisan tu aku tengok Afif dah tunggu kat situ...hahaha, akhirnya mama dikalahkan juga oleh Afif. Tak apalah Afif, next time masuk Afif larilah sendiri, mungkin boleh menang kot. Kalau bawa warga emas ni juga memang kalah lagilah!

Habis acara kami tu, kami dah boleh berjalan2 tengok booth2 yang dibuka. Lepas ambil goodies bag dan bergambar kat stage, bawa Afif buat art sand, ambil aiskrim free, bergambar dengan clown dan banyak jugalah aktiviti yang ada. Okeylah juga, dapat menghabiskan cuti2 ni dengan aktiviti bermanfaat. 

Sebelum balik, terserempak pula dengan abang ipar aku pun bawa anak twin dia masuk kategori 11-12 tahun. Dah jumpa tu tersangkutlah sampai pukul 12.30 baru kami boleh balik. Afif pun dah buat perangai dan mengamuk2 nak minta beli kite (layang-layang)...sebenarnya dia dah letih dan mengantuk tu sebab bangun tidur pukul 5.30 pagi...hahaha, sian anak mama. Mama dan abah pun mengantuk juga, jomlah balik dan tidur :)

 Tengoklah manusia tu, punyalah ramai. Ini selepas Afif dah habis lari, saja2 duduk kat Centre Court tu sebab situ banyak booth2 penaja.

 Bukannya menang pun tapi saja je nak bergambar atas stage. Siap dapat medal dan certificate untuk setiap orang.

Afif dah siapkan 2 art sand.

Afif makan aiskrim free sambil tunggu abah & atuk berborak.

Atuk dan nenek sampai lambat. Afif dah habis lari pun.








Bye bye! Tahun depan berjumpa lagi...insyaallah!

PERIOD PADA CD74

Akhirnya period aku datang juga tapi tak heavy. Last period aku pada 8/7/2013, sebelum bulan puasa hari tu. Pada 16/9/2013 (lepas aku balik dari larian bersama dengan anak aku), dah start keluar brownish. Aku dah dapat faham dah badan aku ni, kalau aku banyak berjalan sikit mesti aku senang datang period tapi bila dah memang time untuk periodlah.

17/9/2013 pun masih keluar brownish2 je sampailah malam tu sebelum tidur aku dah rasa perut agak cramp sikit. Masa tengah tidur, dalam pukul 3 pagi aku terasa darah macam terpancut keluar sikit. Mulanya aku malas nak bangun tapi bila rasa basah dan tak selesa, aku ke bilik airlah juga. Memang darah dan penuh panties aku, so terpaksalah aku pakai pad malam tu. Esoknya aku still pakai pad walaupun tak rasa sangat darah keluar tapi kat pad tu ada juga brownish yang tersangat pekat dan gelap. Maksudnya tak keluar fresh blood macam period biasa tapi ada beberapa kali juga aku terasa ada ketulan darah keluar. Okeylah, aku consider memang aku dah period cuma period aku kali ni cuma datang darah pekat dan berketul.

Hari ni 19/9/2013 pun bentuk darah yang keluar masih sama. Apa2 pun inilah cycle terpanjang yang pernah aku lalui semenjak selepas aku beranakkan Afif. 

Tuesday 17 September 2013

ALLAH PERMUDAHKAN USAHA TTC KU YG KEDUA (SETELAH 6 TAHUN)

Alhamdulillah...syukur!

Pagi ni lepas hantar Afif ke tadika, terus ajak suami ke Klinik Kesihatan Sungai Buloh untuk dapatkan surat refer ke hospital. Semangat memang berkobar2 sebab dah pasang niat untuk conceive pada tahun depan. Okeylah tu sebab Afif pun dah masuk Darjah 1 tahun depan, so mungkin dia dah boleh berdikari bila dapat adik nanti (moga2 Afif akan dapat adik...sob...sob).

Sampai KK dah lewat juga, dalam pukul 9 pagi...nak masuk pintu tu dah tengok kereta berderet parking kat tepi2 jalan. Melangkah masuk ke dalam lagilah...mak aiii manusia!!! Memang lepas cuti je ramai orang sakit ke apa? Punyalah penuh sampai ke luar manusianya. Aku ingatkan taklah ramai sangat sebab pernah datang bulan lepas (tak ingat hari apa) untuk ambik ubat suami aku yang demam taklah ramai macam ni. Memanglah masa tu kami sampai awal, 7.30 pagi dan kaunter pun belum buka tapi masa kami nak balik lepas rawatan dalam pukul 10 pagi pun taklah seramai ni manusianya.

Dengan hati yang pasrah, aku ambil jugalah no. giliran dan kepilkan pada IC (sebab baru 1st time ke KK tu). Suami masa tu tengah mencari parking lagi tapi mujurlah dia terus je dapat parking lepas turunkan aku (Allah permudahkan). Bila dia masuk, dia pun terkejut sambil tersengih2 kambing. Aku terus tanya, nak tunggu juga ke? Kami pun tunggulah juga sekejap sambil suami google pula KK Kelana Jaya sebab hari tu adik pompuan aku buat check darah untuk HIV test katanya sekejap je. Dalam 45 minit menunggu, bila dah tahu KK Kelana Jaya kat mana, suami ajak ke sana. 

Aku terus ke kaunter balik untuk ambil IC aku. Aku tengok dalam tray dah tak ada IC aku, so aku tegurlah brader kat kaunter tu minta dia tolong carikan IC aku sebab aku nak cancel pendaftaran. Aku bagi dia no. giliran aku yang tertulis No. 1051 kat dia. Bila dia selak2 kad rawatan kat sebelah dia, aku nampak ada No. 1052 tapi atas No. 1052 tu tak ada pun No. 1051. Dia pun tertinjau2 ke sana sini mencari. Lepas tu dia serahkan tugas tu pada kakak2 staf kat dalam bilik sebab dia pun banyak kerja kat kaunter untuk urusan pendaftaran. Okey, aku faham dan aku tak kisah sebab dia punya layanan pun okey je bila aku minta tolong.

Lama jugalah aku tunggu staf2 dalam bilik tu mencari...tengok gaya diaorang tu macam tak ada je IC aku. Sudahhhh...aku ni nak mempercepatkan kerja, ni dah kira melambatkan kerja aku dan membuang masa aku. Tapi tak apa, aku bersabar juga sebab memang aku nampak diaorang sibuk mencari. IC tu! Benda penting, takkan diaorang nak lepas tangan kot. Aku dalam hati dah terfikir siapalah pula nak curi IC aku ni? Takut juga kot ada sindiket nak palsukan identiti guna IC dan IC aku menjadi mangsanya.

Suami aku dah nampak aku macam lama je kat kaunter, dia pun datang. Katanya kalau IC tu dah proses tak apalah, proceed je la. Aku pun angin juga dengan orang tua ni. Aku dah pergi minta IC dan orang tu dah bertungkus-lumus mencari, alih2 dia kata nak proceed lak. Tapi aku tak proceed pun dan aku biarkan je staf KK tu cari gak IC aku sebab aku confirm IC aku memang hilang masa tu dan bukan dah diproses sebab masa aku ternampak kad2 rawatan kat brader kaunter tu tadi nombor2 giliran yang sebelum aku pun dok ada lagi kat situ, apahal pulalah aku punya nombor giliran nak diproses dulu pula?

Dengan redha dan pasrah, aku menunggu lagi...lamalah juga tapi IC punya pasal aku tunggu juga. Tak sanggup aku nak menadah muka ke balai polis buat repot dan ke JPN ambil gambar dan buat IC baru (sebab aku rasa gambar dalam IC yg hilang tu dah cun dan muda gitu...ahaksss).

Tak lama lepas tu sorang nurse panggil aku dan nak aku confirmkan betul ke aku ada letak IC kat dalam tray tu? Dia minta aku check balik dalam beg kot2 aku letak dalam beg...mmm, aku rasa nak bahasakan je tapi sebab dia cakap elok2 so aku pun jawab elok2 dan buat2 check beg aku sebab memang aku ingat kot, lepas ambik nombor terus aku kepil nombor tu kat IC dan letak dalam tray. Lepas tu dia datang balik cari aku. Katanya IC aku memang tak dapat dijumpai....uwaaaa!!! Dugaan apakah ini?

So, aku tanya dia, macamana ni? Ye lah, takkan dah bagi hilang IC orang lepas tu diaorang nak lepas tangan pulakkan? Dia minta aku masuk satu bilik rawatan depan kami yang tengah kosong. Nurse tu cakaplah tak apa, biasanya lepas klinik dah surut orang, diaorang akan jumpa balik IC tu. Tapi hati aku masih tak tenang juga. Dia minta no.telefon aku. Katanya dia akan call aku kalau dia jumpa IC tu dan kalau tak jumpa pun dia akan call juga.

Dia tanya kenapa nak cancel treatment? Aku kata orang ramai sangat, aku malas nak tunggu (jujur tak aku? :D) Lepas tu mungkin dia nak sedapkan hati aku, dia kata dia akan bagi aku jumpa doktor. Dalam hati aku pun berkata...what??? Betul ke ni? Ini bermakna aku akan potong line orang yang dah Q kat luar tu? Maaflah bukan aku yang minta tapi bagai orang mengantuk disorongkan bantal, aku gembira di dalam hati (taklah tunjuk kat depan2 nurse tu...cover!). Dia tanya apa tujuan aku ke klinik tu? Aku pun sekali lagi berlaku jujur dan bagitahu dia yang aku nak buat fertility treatment, jadi aku nak minta surat refer ke hospital. Katanya dia akan minta doktor tuliskan surat tu...yeay! 

Lepas bilik doktor yang kat sebelah tu dah clear, dia pun panggil aku masuk. Alhamdulillah doktor yang aku jumpa tu pun okey sangat! Doktor tu pun interview aku sikit2...dah berapa tahun kahwin? Umur berapa? Dah ada anak ke belum? Anak 1st tu normal atau under treatment juga? Ada apa2 masalah kesihatan ke? Dulu buat treatment kat mana? Lebih kurang gitulah soalan2nya. Lepas tu doktor tu tanya kenapa lambat sangat nak buat treatment? Ye lah, aku kan tunggu sampai anak dah 6thn baru nak start treatment balik. Aku kata sebab tak ada masa tapi sebenarnya aku ada masalah kewangan dan juga nak usaha sendiri sebenarnya. So, doktor kata nanti bawalah surat tu ke hospital. Katanya tak payah surat pun tak apa sebenarnya tapi hospital ni saja je dan dia pun doakan aku akan berjaya, insyaallah. Aku pun balas...insyaallah! Semoga masinlah mulut doktor.

Ya Allah, keluar dari bilik tu aku macam tak percaya pula. Allah turunkan aku ujian ke atau ALLAH nak permudahkan aku ni? Memanglah IC aku masih hilang tapi fikiran aku lebih positif...aku tak fikir sangat IC yang hilang tu sebagai ujian, aku cuma anggap ALLAH cuma nak bantu percepatkan urusan aku je.

Masa berjalan balik ke kereta tu suami saja2 usik, katanya kalau tak jumpa IC tu nanti nak kena pergi buat repot, nak kena pergi JPN buat IC baru pula. Lepas tu kalau jumpa, bila pula nak datang ambik? Entahlah, aku macam yakin yang IC aku tu tak hilang dan masih ada dalam KK tu cuma adalah orang yang tersalah letak kat dalam mana2 file orang lain. Aku balas balik kat suami, aku kata dalam ramai2 orang kenapa IC saya yang boleh hilang? Ini semua ujian dari Allah dan kita kena redha. Dalam hati aku bersyukur Allah pilih aku untuk diberikan ujian.

Sebelum balik rumah, kami berdua singgah makan dekat2 situ juga. Al-maklumlah dua2 belum bersarapan. Lepas makan dan sambil borak, ada call masuk kat telefon suami. Bila diangkat, tak dengar suara. Dah 2 kali panggilan pun macam tu, aku tanya suami berapa nombor telefon tu? Bila suami kata nombor mula dengan 6, aku yakin itu nombor dari KK tadi sebab masa bagi nombor telefon kat nurse tadi, aku bagi nombor telefon aku dan suami. Telefon aku pula boleh tertinggal kat rumah pagi tadi, so mesti diaorang call tak ada orang angkatlah tu. Dekat 4-5 kali panggilan masuk tapi bila angkat tak dengar suara. Bila suami call pula tak ada orang angkat. Suami aku bawa 2 biji telefon tapi 2-2 buat hal time tu. Bila satu lagi telefon dah okey, aku try call balik nombor tadi dan nasib baik ada orang angkat. Bila tanya, memang betullah dari KK tadi. Alhamdulillah!!! IC aku dah dijumpai. Ya Allah!!! Allah betul2 permudahkan segalanyalah. Nasib baik kami berdua pun belum balik, dan masih melepak2 dekat area situ, so kami pun teruslah patah balik dan ambil IC tu.

Syukur Ya Allah! Semoga perjalanan & usaha TTC kami kali ini juga dipermudahkan...insyaallah!

*Aku cuma tengah berfikir sekarang ni kalau aku buat treatment kat hospital, paling kurang tahun depan baru treatment boleh mula. Masa tu Afif dah masuk darjah 1, macamana aku nak pergi appointment kat hospital? Siapa nak ada kat rumah masa Afif balik sekolah? Kalau treatment kat hospital paling2 kurang pun mesti sampai tengahari...adoiii. Itu masalah juga tapi insyaallah akan ada penyelesaiannya.   

SANGAT2 MEMBERI INSPIRASI!!!

Cuba baca blog ni kawan2 TTC ku sekelian...


Dah baca? Adakah memberi anda2 semua inspirasi? Subhanallah! Kuasa Allah Maha Hebatkan? Cuba tengok kronologi TTCnya...right fallopian tube has been removed tapi masih berjaya conceive...Allahuakbar! 

Tuesday 10 September 2013

ORANG LAIN MAKIN BERTAMBAH TAPI AKU...

Eh...eh, raya dah habis ek? Aku tak berapa nak perasan sebab tahun ni jemputan open house pun agak kurang. Bagus juga kurang jemputan ni sebab tak adalah aku nak diterjah dengan soalan2 annoying dan tak jugalah mata aku menahan cemburu melihat pasangan2 lain yang berderet2 mengangkut anak.

Mmm...orang lain semuanya dah bersusun2 anak. Yang baru kahwin pun terus je 'lekat'. Yang dah ada anak, nak bertambah lagi ahli keluarga. Jeles ok! 

Baru hari tu sepupu aku yang sorang ni anak sulung baru setahun lebih dah bersalin anak kedua. Dia bagitahu pula adik lelaki dia yang dah dekat 2 thn kahwin, sekarang ni bini dia dah pregnant (suami isteri ni agak obes juga tapi berjaya juga pregnant). Lepas tu kakak aku pula dah bersalin anak ke-6 you! Dah tu dapat tahu pula sepupu aku yang baru kahwin awal bulan 3 dah pun pregnant, sekarang ni dah 6 bln mengandung. Jumpa seorang lagi sepupu baru beberapa minggu gugur padahal anak sulung baru 8 bln (eh, macam senang je ek kau boleh mengandung. Dan dia ni pun badannya besar). Dah tu  datang pula sorang lagi sepupu dok tengah mabuk2 dan anak sulung dia pun baru setahun lebih nak masuk 2 tahun. Sorang sepupu sebelah ayah aku pula pun dah 2thn kot kahwin, pun dengarnya bini dia dah pregnant (pasangan ni pun berbadan besar). Masa balik kampung raya hari tu tengok wife sepupu suami aku yang baru setahun kahwin pula tengah sarat nak melahirkan dah. Eh! Diaorang ni guna baja apa ek yang subur sangat? Aku ni dah 6 tahun menyemai benih dan membaja dengan gigihnya tak pula ada hasil lagi. Sedih ok! Sangat2 sedih...:(

Asik dengar berita orang mengandung, beranak, mengandung, beranak je aku ni. Aku punya turn entahlah bila tapi, aku redha...mungkin ada salah dan silap aku kat mana2 pada Allah yang menyebabkan Allah tarik nikmat tu, siapa tahu? Tak apalah, selagi ada kudrat ni aku akan berusaha lagi. Kadang2 tak dinafikan aku muak dengan cakap2 orang yang menyuruh aku menambah lagi bilangan anak...'sorang lagi pun cukuplah' (korang ingat anak tu macam ikan boleh beli kat pasar ke?)...'tambahlah sorang lagi, perempuanlah pula' (korang rasa2 kalau aku mengandung pun, aku boleh pilih2 jantina anak ke macam pilih jawapan untuk soalan UPSR??) 

Friday 6 September 2013

DAH CD60

Hari ni 6/9/2013 dah genap 2 bln aku takde period :( Last period aku 8/7/2013 hari tu. Dalam 2 minggu lepas adalah brownish 2 hari, aku ingat period is on the way tapi tak ada juga. Semalam pula pun ada spotting (actually after BD). Mmm...camna ek? Nak try UPT ke? Rasa macam dah malas nak celup UPT tu sebab tak ada tanda2 pun yg UPT tu akan naik 2 lines...aduhhhh. Kenapa cycle makin lambat ni???

CORETAN YANG LALU

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...